KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda berusia 22 tahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada tiga pertuduhan seksual melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 11 bulan di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat di sini, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie setelah mendapati keterangan mangsa tidak konsisten dan meragukan.

Beliau berkata, antara perkara utama yang menimbulkan keraguan adalah percanggahan tarikh kejadian dalam laporan polis, laporan perubatan dan rakaman percakapan mangsa selain keterangan saksi yang gagal menyokong dakwaan berkenaan.

Mahkamah turut mengambil kira percanggahan keterangan saksi mengenai kejadian yang didakwa berlaku di dalam kereta serta kelewatan mangsa membuat laporan polis.