SUNGAI PETANI: Jadikan hotel terbiar sebagai pusat operasi penipuan sindiket permainan dalam talian didalangi warga Bangladesh.
Kegiatan jenayah itu bagaimanapun tumpas selepas polis menyerbu premis terletak di Taman Lagenda Indah, di sini, Rabu lalu.
Serbuan jam 9.30 malam membawa kepada penahanan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 53 tahun yang dipercayai bekerja untuk sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Jun lalu menggunakan laman web khas dan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan dipercayai warga Bangladesh.









