Pasir Mas: Empat beradik wanita dari Kampung Che Mat Ali, di sini, tidak menyangka akan diuji dengan menghidap penyakit sama iaitu kanser payudara.

Che Mugi Ibrahim, 72, bersama tiga adiknya, Zuariah Che Ya, 65, Thahairah, 56, dan Kilawadi@Che Ani, 53, disahkan menghidap kanser payudara tahap dua dan empat sejak 2014 sehingga kes terbaru pada April lalu.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan mereka ditinggalkan suami dan terpaksa berhenti kerja disebabkan penyakit yang dialami.

Bagaimanapun dalam diuji dengan penyakit, empat beradik itu memasang impian sama iaitu mahu menunaikan umrah bersama-sama sekiranya ada pihak yang sanggup menaja mereka.