PASIR MAS: Tiga lelaki yang ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berhubung rampasan 1,700kg minyak masak bersubsidi disambung reman selama dua hari lagi hari ini bagi membantu siasatan.

Majistret Pasir Mas, Wan Abdullah Mohd Rodzlad membenarkan permohonan sambung reman kedua bermula hari ini selepas tempoh reman awal selama empat hari dari 22 hingga 25 Oktober.

Semua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan dalam satu operasi bersepadu di Kampung Kubang Chenak, Chetok, di sini, pada 21 Oktober lalu.

Dalam operasi pada jam 3 petang itu, pihak berkuasa merampas 1,700kg minyak masak bersubsidi bernilai RM4,250 yang dipercayai sedang dipindahkan ke dalam dua kenderaan pacuan empat roda.