SEBERANG PERAI – Sebanyak 6.4 tan minyak masak bernilai RM20,166 disita selepas kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi dibongkar di sebuah stor di Kampung Sanglang, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 3 petang itu, tiga lelaki terdiri daripada seorang warga emas tempatan serta dua warga Myanmar yang masing-masing berusia 61, 33 dan 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, operasi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Utara.

Katanya, pemeriksaan di stor berkenaan menemukan kira-kira 900 kilogram minyak masak paket satu kilogram, selain 4,000 plastik minyak masak paket yang telah dipotong.