PETALING JAYA – Agrobank kini menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada pesawah dengan kadar pembiayaan berpatutan bagi menyokong kelangsungan aktiviti penanaman, melindungi sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan mereka.

Ini adalah antara komitmen bank tersebut untuk sebahagian daripada pesawah ketika berdepan cabaran untuk menyediakan keperluan modal pusingan pada awal musim penanaman serta kebergantungan kepada sumber pembiayaan tidak formal.

Menerusi kemudahan pembiayaan padi, pesawah boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga enam bulan untuk setiap musim penanaman, dengan kadar keuntungan antara satu peratus hingga 3.25 peratus semusim.

Kemudahan ini ditawarkan bagi tempoh sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui, tertakluk pada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat yang ditetapkan.