PETALING JAYA – Lebih 90 peratus responden di Malaysia mengakui kepentingan infrastruktur sedia kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan aliran kerja dan produktiviti, namun aspek keselamatan serta privasi data masih menjadi cabaran utama.

Tinjauan Synology, syarikat teknologi yang menyediakan penyelesaian pengurusan data, storan, sandaran dan keselamatan siber untuk perniagaan serta organisasi turut mendapati 70 peratus responden Malaysia menyenaraikan keselamatan dan privasi data sebagai cabaran terbesar dalam penggunaan AI.

Ini diikuti kualiti dan ketersediaan data sebanyak 42 peratus, serta data yang berpecah atau berselerak sebanyak 40 peratus.

Ketua Synology Asia Tenggara, Antoine Yang berkata, AI hanya mampu memberi nilai kepada perniagaan apabila teknologi itu membantu pekerja menjalankan tugas dengan lebih baik dan membolehkan syarikat bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan pelanggan.