KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong sentimen positif susulan pembentangan Belanjawan 2027.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.0815/0900 berbanding dolar AS daripada paras 4.0820/0865 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bagaimanapun berkata peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat dan jangkaan inflasi AS yang lebih tinggi dijangka terus menyokong dolar AS.

Perkembangan terkini di Riyadh, Arab Saudi susulan serangan peluru berpandu menunjukkan keadaan semasa berpotensi berkembang menjadi konflik yang lebih meluas, sekali gus menjejaskan bekalan minyak mentah dengan lebih ketara, katanya.