PETALING JAYA: Belanjawan 2027 menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran saham tempatan susulan komitmen kerajaan untuk meneruskan konsolidasi fiskal, di samping membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan operasi perniagaan.

Langkah kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 berbanding 3.6 peratus pada 2026 mencerminkan usaha mengekalkan disiplin kewangan negara, meskipun pelbagai bantuan dan insentif masih disediakan.

Pada masa sama, langkah pengurangan cukai, peningkatan pelepasan cukai serta bantuan tunai dan subsidi bersasar dilihat dapat menyokong perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perniagaan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun terdapat tanggapan Belanjawan 2027 turut dipengaruhi pertimbangan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), komitmen terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab masih dikekalkan.