KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan peningkatan dalam kebanyakan pasaran utama Asia susulan kenaikan saham teknologi di Wall Street dalam tempoh semalaman, walaupun hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi terus mengehadkan minat terhadap risiko.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.60 mata kepada 1,633.35 berbanding 1,631.75 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka 4.63 mata lebih tinggi kepada 1,636.38, bergerak antara 1,632.77 dan 1,641.20 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 667 berbanding 456 manakala 551 kaunter tidak berubah, 1,108 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.