Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi akan meneliti kaedah terbaik untuk mendapatkan semula hak harta intelek (IP) dan menyimpan gelendong (reel) filem asal karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee di dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, langkah itu amat penting bagi memelihara khazanah negara, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan filem berkenaan sudah melebihi tempoh 50 tahun dan memasuki peringkat domain awam.
"Perkara ini amat penting bagi negara kerana kita semua ketahui bahawa karya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee ini merupakan khazanah kepada negara.
"Lebih-lebih lagi perkara ini timbul disebabkan filem tersebut kebanyakannya sudah berusia melebihi 50 tahun.









