PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti video tular yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027.

MCMC memaklumkan pihaknya telah menerima aduan orang awam mengenai video berkenaan yang tersebar di media sosial.

Menurut kenyataan itu, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.

“Sehubungan itu, MCMC telah merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menilai kandungan video tersebut, termasuk konteks penyebaran serta potensi kesannya terhadap masyarakat.