SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan Perikatan Nasional (PN) memberi harapan baharu kepada gabungan itu untuk menghadapi sistem demokrasi dalam negara secara sihat dan adil.Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkembangan itu turut membolehkan lambang PN digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti."Keputusan ini akan memberi harapan baru khususnya kepada PN untuk menghadapi sistem demokrasi dalam negara secara sihat dan adil kerana kami percaya, kuasa bukanlah lesen untuk bertindak secara sesuka hati, manakala undang-undang juga bukan alat untuk menekan pihak yang berbeza pandangan."Insya-ALLAH, keputusan positif yang dicapai hari ini menguatkan lagi tekad PN untuk memperkukuhkan kekuatan, bagi menawarkan polisi serta khidmat terbaik kepada rakyat dan menterjemahkannya melalui sokongan rakyat dalam PRN Melaka nanti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad pada Khamis, membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya, selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim.Hakim memutuskan bahawa keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.Bagaimanapun, mahkamah tidak memutuskan kesahan keputusan RoS berkenaan, sebaliknya menyerahkan persoalan itu untuk ditentukan ketika pendengaran substantif semakan kehakiman kelak.Mengulas lanjut, Hamzah berkata, keputusan mahkamah itu juga bertepatan dengan penghakiman Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan dan Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd [1979] yang menegaskan setiap kuasa mempunyai batasan undang-undang.