KUALA LANGAT – Empat beradik yang memiliki keseluruhan 51 rekod kesalahan berkaitan dadah dan pemenjaraan ditahan semula selepas gagal hadir pada tarikh jaminan ditetapkan.Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor, Nazir Mohamad berkata, kesemua mereka berusia antara 32 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.Menurutnya, mereka ditahan di kediaman masing-masing menerusi Operasi Perdana AADK Negeri Selangor Siri 4/2026."Empat beradik ini sebelum ini pernah ditahan pada 4 Ogos lalu, namun kegagalan mematuhi tarikh jaminan menyebabkan tindakan pengesanan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Beliau berkata, hasil semakan mendapati abang sulung berusia 49 tahun mempunyai 12 rekod pemenjaraan berkaitan dadah, manakala adiknya berusia 42 tahun mencatatkan 26 rekod.Katanya, adik ketiga berusia 36 tahun mempunyai lima rekod pemenjaraan, sementara adik bongsu berusia 32 tahun memiliki lapan rekod kesalahan dadah dan pemenjaraan."Tiga beradik yang lebih tua didapati positif methamphetamine dan morfin, manakala adik bongsu positif methamphetamine."Mereka kemudian dibawa ke mahkamah dan dikenakan perintah di bawah Seksyen 6(2)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.Sementara itu seorang penagih warga emas berusia 65 tahun turut ditahan ketika dalam perjalanan ke lokasi penagihan syabu.Menurutnya, lelaki terbabit ditahan bersama anak angkatnya ketika menaiki motosikal menuju ke kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan penagih mendapatkan bekalan dadah.Bagaimanapun, katanya, semakan mendapati warga emas itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah."Ujian saringan yang dijalankan selepas penahanannya turut mendapati dia positif methamphetamine atau syabu," ujarnya.Mengulas mengenai operasi berkenaan, Nazir berkata, ia berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober lalu melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat, Gombak, Sepang, Hulu Langat dan Klang.Menurutnya, seramai 20 pegawai dan 100 anggota AADK Negeri Selangor digerakkan sepanjang pelaksanaannya."Seramai 171 individu ditahan dengan 133 daripadanya, terdiri daripada 130 lelaki dan tiga wanita, didapati positif ujian saringan dadah dan bahan," jelasnya.Beliau berkata, AADK Negeri Selangor terus memperkukuh penguatkuasaan serta intervensi rawatan dan pemulihan bagi menangani penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan komuniti.