JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang memiliki 16 rekod jenayah lampau termasuk dadah, rogol dan samun cedera ditembak di bahagian kepala ketika cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Gertak Merah, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Honda City itu dipandu suspek berusia 28 tahun secara melulu sebelum dikejar polis kira-kira sejauh satu kilometer.

“Apabila tiba di lokasi berkenaan, kenderaan tersebut telah merempuh beberapa kenderaan awam lain menyebabkan polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan tersebut.

“Satu tembakan mengenai suspek di bahagian kepala, manakala satu tembakan lain pula mengenai kenderaan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.