KUALA LUMPUR: TSH Resources Bhd hari ini memaklumkan operasi, konsesi dan aset-asetnya di Indonesia tidak terjejas susulan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di negara itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat minyak sawit yang beroperasi di Malaysia dan Indonesia itu menyatakan sedemikian sebagai menjawab permohonan maklumat umum daripada pihak Singapore Exchange Ltd (SGX) menerusi pengumuman di Bursa Malaysia Securities Bhd dan SGX.

"TSH Resources tidak dinamakan atau menerima sebarang notis daripada mana-mana agensi alam sekitar berhubung kejadian jerebu rentas sempadan baru-baru ini.

"Di bawah dasar sifar pembakaran yang dikuatkuasakan secara ketat oleh kumpulan, penggunaan api bagi sebarang operasi di ladang, termasuk penyediaan tanah, penanaman baharu dan penanaman semula, adalah dilarang di semua operasi kumpulan," maklum syarikat berkenaan.