KUALA LUMPUR: OPPO hari ini melancarkan telefon pintar flagship terbaharunya, Siri Find X10 di Malaysia dengan teknologi pengimejan dipertingkatkan menerusi sistem kamera beresolusi tinggi hasil kerjasama dengan Hasselblad selain kapasiti bateri sehingga 8,000mAh.

Siri terbaharu itu merangkumi OPPO Find X10 yang ditawarkan pada harga bermula RM4,999, manakala OPPO Find X10 Pro Max bermula RM6,999.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Produk di OPPO, Pete Lau, berkata Siri Find X sentiasa didorong oleh komitmen OPPO untuk terus memajukan teknologi pengimejan mudah alih dan membantu pengguna merakam keindahan kehidupan dengan mudah.

"Menerusi siri Find X10, kami melakukan salah satu langkah kemajuan terbesar kami setakat ini dalam pengimejan mudah alih. Daripada Sistem Tiga Kamera 200MP yang pertama dalam industri pada Find X10 Pro Max sehingga LUMO True Image Engine generasi seterusnya, Siri Find X10 direka khas untuk menterjemahkan semula dunia sebagaimana yang kita lihat dan memastikan setiap gambar kekal tulen mengikuti detik yang dirakam," katanya.