Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendedahkan hasil kajian berkaitan kes buli yang dijalankan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seawal minggu ini atau minggu hadapan.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian itu merupakan antara lebih 80 kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak universiti bagi mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menangani isu berkenaan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata, kementerian memandang serius isu buli dan tidak mahu perbuatan itu menjadi kebiasaan sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan mangsa.
"Kita amat risau mengenai kes buli ini. Kita tidak mahu perbuatan ini menjadi satu kebiasaan di sekolah sehingga menakutkan mereka yang dibuli. Jadi, kita mahu mencari jalan untuk membantu," katanya ketika ditemui selepas rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di Wisma Bernama hari ini.









