London: Pemenang Maraton Tokyo 2019, Ruti Aga digantung selama enam tahun selepas didapati melanggar peraturan antidoping membabitkan penggunaan bahan terlarang methylprednisolone serta memanipulasi bukti, menurut Unit Integriti Olahraga (AIU), hari ini.

AIU berkata, pelari maraton Ethiopia berusia 32 tahun itu pada awalnya dikenakan penggantungan dua tahun selepas didapati positif methylprednisolone, sejenis steroid terlarang yang boleh mengurangkan kesakitan dan keletihan serta membantu proses pemulihan.

Keputusan positif itu diperoleh selepas Ruti menjuarai acara separuh maraton di China pada Mac lalu.

Bagaimanapun, tempoh penggantungannya ditambah empat tahun selepas siasatan mendapati dia mengelirukan penyiasat ketika sesi temu bual serta mengemukakan preskripsi palsu bagi mewajarkan penggunaan bahan berkenaan.