IPOH: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menolak dakwaan pengabaian dan penderaan tiga ekor gajah yang yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, sambil menjelaskan tingkah laku haiwan berkenaan tidak semestinya menunjukkan mereka mengalami tekanan mental.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan, berkata tiga gajah berkenaan, iaitu Dara, Amoi dan Kelat, berada dalam keadaan sihat serta berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sejak tiba di Jepun pada Mac lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini yang diterima daripada pihak zoo dan penilaian MPT, ketiga-tiga gajah terbabit dalam keadaan baik, aktif, sihat dan sudah berjaya menyesuaikan diri dengan baik.

Katanya, Dara, Amoi dan Kelat juga sudah diletakkan kembali bersama bermula sejak 20 September lalu serta mempunyai akses bebas ke seluruh kawasan pameran serta kurungan malam.