KUALA LUMPUR: Exsim Hospitality Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM13.49 juta daripada Binastra Builders Sdn Bhd bagi membekalkan, membuat, menghantar dan memasang kerja-kerja pertukangan kayu.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Exsim Concepto Sdn Bhd, menerima surat anugerah (LOA) hari ini bagi pelaksanaan kerja subkontrak berkenaan mengikut jadual pelaksanaan kontrak utama yang disediakan oleh Binastra Builders.

Menurut syarikat itu, kontrak utama berkenaan bermula pada 9 Disember 2024 dan dijadualkan siap pada 8 Jun 2028, dengan tempoh pelaksanaan selama 42 bulan.

Sementara itu, tempoh tanggungan kecacatan ialah 27 bulan dari tarikh sijil siap kerja praktikal bagi kerja yang telah disiapkan atau sehingga semua kecacatan dibaiki, mengikut mana-mana yang terkemudian.