KUALA LUMPUR: Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi syer majikan untuk pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia ialah kadar yang relatif rendah.
Kementerian Kewangan memaklumkan kadar itu mengambil kira keperluan mengimbangi objektif perlindungan sosial pekerja dengan pertimbangan kos yang ditanggung oleh majikan.
"Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Di bawah peruntukan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, bermula Oktober 2025, setiap majikan diwajibkan untuk membuat caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia," menurut kementerian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.








