Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka Perancis tanpa perlu memerah keringat selepas pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul menarik diri daripada aksi pusingan kedua, hari ini.
Pasangan ranking keempat dunia itu diberikan kemenangan percuma atau walkover di Arena Grand Paris, namun sebab penarikan diri pasangan ranking ke-26 dunia berkenaan belum diketahui.
Keputusan itu memberi kelebihan buat pilihan keempat kejohanan berkenaan apabila mereka mendapat rehat tambahan sehari dalam usaha memburu gelaran Jelajah Dunia pertama musim ini.
Aaron-Wooi Yik hadir ke Paris dengan momentum positif selepas muncul naib juara Terbuka Denmark minggu lalu, sebelum membuka kempen di Perancis dengan menewaskan wakil China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, 21-15, 21-19.








