KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing semakin hampir mengulangi pencapaian di Terbuka Denmark apabila mara ke suku akhir Terbuka Perancis di Arena Grand Paris, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-31 dunia itu meneruskan kemaraan selepas menundukkan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui menerusi pertarungan tiga set 21-13, 13-21, 21-17 dalam tempoh 51 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing kini selangkah lagi untuk menyamai pencapaian di Terbuka Denmark apabila mereka berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir pada kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti pasangan negara di suku akhir kejohanan berstatus Super 750 itu apabila dijadual berdepan wakil Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen, yang mencipta kejutan dengan menyingkirkan pasangan pilihan kedua, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.