KUALA PILAH – Seorang imam muda masjid maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Seremban–Kuala Pilah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.06 petang itu, mangsa yang turut berkhidmat sebagai penghantar barangan berusia 29 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban sebelum motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kereta tersebut.