GEORGE TOWN – Keluarga Muhammad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22, tidak menyangka baju lengan panjang yang dipakainya ketika menyambut hari lahir pada Julai lalu menjadi pakaian terakhirnya ketika terlibat kemalangan di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang di sini, pagi tadi.

Lebih memilukan lagi, baju berwarna kelabu itu merupakan hadiah pemberian ibu mangsa kepada anak kelima daripada enam beradik itu, sebelum beberapa hari menjelang hari jadinya.

Kakak ipar mangsa, Nur Hidayati Jasri, 36, berkata, dia sebak apabila mengetahui adik iparnya yang merupakan penuntut di sebuah universiti tempatan di Kulim, Kedah itu dilihat memakai baju sama ketika menatap jenazah mangsa pagi tadi.

“Bila tengok baju yang dia pakai, saya terus teringat baju itu yang dipakainya ketika sambutan hari lahirnya pada Julai lalu.