KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis apabila menempah slot ke suku akhir.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Grand Paris sebentar tadi, gandingan No.31 dunia itu tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bermain sehingga set ketiga dalam tempoh 51 minit.

Pang Ron-Pei Jing terpaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui menerusi keputusan 21-13, 13-21, 21-17.

Pada perlawanan tersebut, pasangan negara bermula dengan langkah kanan apabila mendominasi set pertama dengan jurang mata cukup besar 16-10 sebelum berjaya mengutip kemenangan pertama 21-13.