Kuala Lumpur : Tindakan disiplin terhadap pekerja tanpa mengikut prosedur yang betul bukan sahaja boleh mengundang pertikaian undang-undang, malah berisiko mengancam kelangsungan sesebuah perniagaan.
Isu Pengurusan Sumber Manusia (HR) khususnya membabitkan kes ketidakhadiran, prestasi kerja dan penamatan perkhidmatan kerap menjadi cabaran utama pemilik perniagaan, terutama dalam memastikan setiap tindakan dibuat secara adil serta mematuhi undang-undang buruh.
Sedar akan kekeliruan sering dihadapi majikan, syarikat perunding HRXPERT memperkenalkan inisiatif Talian Kecemasan HR bagi menyediakan saluran panduan awal secara percuma buat pemilik perniagaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HRXPERT, Dr (HC) Norazlina Abdullah, inisiatif berkenaan menyasarkan golongan pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kebiasaannya tidak mempunyai jabatan HR khusus di syarikat masing-masing.









