Kuala Lumpur: Perenang negara, Abd Halim Mohammad dan Shahafiq Abdullah, mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan Para Asia hari ini apabila masing-masing menyumbang pingat perak dan gangsa, sekali gus menjadikan jumlah kutipan pingat Malaysia dalam acara renang meningkat kepada empat.
Halim membuka tirai kejayaan di Gimnasium Am Bandar Nagoya (Kolam Rainbow) apabila meraih pingat perak dalam final 100 meter (m) kuak dada lelaki kategori SB8 (ketidakupayaan fizikal) dengan catatan masa 1 minit 14.45 saat (s).
Pingat emas menjadi milik China, Xu Haijiao dengan catatan 1:12.80s, manakala rakan senegaranya, Li Ting meraih gangsa dengan catatan 1:16.56s.
Shahafiq kemudian turut mengesahkan podium buat kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara akhir 100m kuak dada lelaki SB7 selepas mencatat masa 1:36.41s.








