Nagoya: Atlet olahraga para negara, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi menyasarkan untuk memperbaharui rekod peribadi pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Uzbekistan tahun depan selepas terlepas peluang mempertahankan pingat emas acara 400 meter (m) T20 lelaki pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

Ammar, 24, yang meraih pingat perak dengan catatan 48.34 saat (s) di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium mengakui masih kecewa atas kegagalan itu, namun tetap bersyukur dapat menyumbang pingat kepada negara.

Keputusan itu, menurut Ammar menjadi motivasi untuk dirinya kembali dengan lebih kuat terutama selepas kali terakhir mencatat masa di bawah 48s pada 2024 menerusi penampilan di Terbuka Paris yang menyaksikan beliau memecahkan rekod temasya.