Kuala Terengganu: "Saya sempat mengajarnya mengucap dan arwah mengikutinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," kata Muhammad Afiq Daniel Norazri, 19, rakan kepada Muhammad Aiman Khairul Anuar yang maut dalam kemalangan di Jalan Pusara di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.55 petang itu, Muhammad Aiman, 19, meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta.

Muhammad Afiq Daniel berkata, ketika kejadian, dia dan empat rakan termasuk mangsa baru habis bekerja dan dalam perjalanan ke kedai makan milik sepupunya.

Dakwanya ketika menunggang motosikal di belakang mangsa, sebuah Toyota Vios tiba-tiba memotong kenderaan lain untuk masuk ke simpang kanan.