Ayer Keroh: Barisan Nasional (BN) akan berkongsi pentas dengan PAS untuk mengumumkan calon masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti yang diumumkannya semalam, BN akan memperkenalkan 21 calon manakala rakan gabungan itu sebanyak tujuh calon.

"Insya-Allah di pentas yang sama dan di dewan yang sama (Sabtu ini), kita akan umumkan 21 (calon), mereka akan umumkan tujuh," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.