Kuala Lumpur: Baki beban kewangan bersih yang ditanggung kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion setelah ditolak pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, dengan andaian tiada pemulihan dana dan aset tambahan pada masa hadapan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), dengan mengambil kira bayaran yang telah dibuat dan baki komitmen yang masih perlu dijelaskan, jumlah keseluruhan obligasi kewangan kerajaan berkaitan 1MDB adalah sebanyak RM51.4 bilion.
"Sejak kerajaan mula mengambil alih tanggungan hutang dan komitmen kewangan berkaitan 1MDB pada April 2017, kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM42.5 bilion.
"Bayaran itu merangkumi bayaran prinsipal sebanyak RM27.7 bilion serta faedah dan komitmen lain sebanyak RM14.8 bilion," menurut MoF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.








