KOTA BHARU: Isu etnik Rohingya tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri semata-mata kerana penguatkuasaan berkaitan komuniti itu turut melibatkan bidang kuasa agensi Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan mengikut bidang kuasa tertentu, khususnya berkaitan pelanggaran syarat tanah, binaan tanpa kelulusan dan pematuhan lesen perniagaan.
Katanya, status etnik Rohingya juga melibatkan mereka yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
“Jadi, jangan letakkan beban isu etnik Rohingya kepada kerajaan negeri kerana ini adalah isu negara. Bidang kuasa kita adalah mengambil tindakan terhadap premis atau sewa tanah yang tidak mengikut syarat, seperti yang berlaku di Tanah Merah membabitkan tanaman sireh,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.









