SUNGAI SIPUT: Usaha memindahkan gajah liar yang mengancam keselamatan penduduk dan memusnahkan tanaman kelapa sawit di Kampung Perlop 1, bergantung kepada keadaan muka bumi dan tahap kesesuaian kawasan berkenaan untuk operasi penangkapan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, penangkapan akan dilakukan sekiranya lokasi haiwan berkenaan sesuai dimasuki lori dan jentera yang diperlukan bagi operasi tersebut.

Katanya, jika keadaan tidak mengizinkan, kaedah tembak halau atau penggunaan dron penghalau akan dipertimbangkan, terutama apabila keadaan muka bumi berbukit-bukau yang menyukarkan akses kenderaan ke lokasi gajah berkenaan.