SUNGAI SIPUT: Pekebun di Kampung Perlop 1 yang mengalami kerugian hasil tanaman akibat ancaman gajah liar boleh memohon bantuan kewangan terhadap kerosakan yang berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pekebun boleh mengemukakan permohonan bantuan menerusi Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, bantuan itu bukan berbentuk pampasan, sebaliknya bantuan ihsan bagi meringankan beban pemilik ladang yang mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman dan ternakan disebabkan serangan hidupan liar.








