Kuala Lumpur: Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi syer majikan untuk pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia merupakan kadar yang relatif rendah, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Kementerian itu memaklumkan kadar itu mengambil kira keperluan mengimbangi objektif perlindungan sosial pekerja dengan pertimbangan kos yang ditanggung oleh majikan.

"Kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh majikan berhubung peningkatan kos perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Di bawah peruntukan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, bermula Oktober 2025, setiap majikan adalah diwajibkan untuk membuat caruman KWSP bagi pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia," menurut MoF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.