KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi bayangan Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau memaklumkan rundingan mengenainya sudah mencapai 90 peratus persefahaman, namun menegaskan keutamaan diberikan kepada sekutu yang jujur dan tidak 'tikam belakang'.
Soal parti mana yang menjadi pilihan BN untuk bekerjasama, Asyraf Wajdi bagaimanapun enggan memberikan perincian lanjut, sekadar menjelaskan 'parti yang boleh dijadikan sebagai kawan'.
"Kita mudah sahaja, bila berkawan kena kawan betul-betul. Jangan kawan tikam kawan. Jangan kawan di depan, tetapi belakangnya diintimidasi dengan pelbagai cara yang tidak sewajarnya kita dalam keadaan berkawan ini," katanya.








