KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd mengesahkan tidak berlaku sebarang keingkaran bayaran setakat pengumuman hari ini, di tengah-tengah kemungkinan pelanggaran kovenan bagi program sukuk wakalah syarikat yang bernilai sehingga RM2 bilion.

Syarikat itu memaklumkan pihak pemegang amanah sukuk terbabit iaitu Pacific Trustee Bhd akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang sukuk esok untuk membincangkan perkara itu dengan cadangan penyelesaian bagi menangani punca pelanggaran berhubung pegangan saham pemegang saham utama.

"Mesyuarat itu bertujuan memudah cara perbincangan konstruktif serta mengumpul maklum balas daripada pemegang sukuk berkaitan cadangan penyelesaian (yang dikemukakan).

"Sesi itu akan berperanan sebagai asas bagi merangka serta memuktamadkan satu pengaturan wajar yang dipersetujui bersama oleh semua pihak berkaitan," maklum syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.