Penganalisis berkata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah perlu berunding dengan PAS walaupun sukar. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Nasib Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar Perlis dikatakan berada dalam tangan Adun PAS susulan tindakan Bersatu menggantung keahlian beliau, menurut penganalisis.

Penganalisis berkata sokongan wakil rakyat PAS menjadi talian hayat kepada Abu Bakar, yang meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKN).

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata Abu Bakar tiada pilihan melainkan berunding dengan PAS walaupun sukar.

"Berunding dengan PAS bukan sekadar satu pilihan sebaliknya talian hayat bagi kelangsungan politik beliau. Namun, mengambil kira keadaan semasa, rundingan antara menteri besar dan Adun PAS dilihat sukar dilakukan," katanya kepada FMT.