KUALA PILAH: Pemandu kereta yang dirakam memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan lain di Kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, hari ini didapati positif dadah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta dipandu lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban.
"Siasatan mendapati pemandu terbabit memandu secara berbahaya sehingga melanggar belakang sebuah motosikal.
"Pemandu terbabit tidak memberhenti kereta, sebaliknya terus memandu secara melulu sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh," katanya dalam kenyataan, hari ini.










