JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan menamatkan saingan kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas melakar kemenangan keempat berturut-turut apabila membelasah Kanada 6-1 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Young Tigers kekal di tangga teratas pada aksi sistem liga Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang sudah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan Pakistan 3-2, Rabu lalu, sekali lagi akan berdepan anak didik Sameer Hussain dalam aksi final, malam esok.

Pakistan meraih tiket ke final selepas terikat 2-2 dengan Jepun pada aksi petang tadi.