KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Maxis Broadband Sdn Bhd untuk menjual aset perniagaan jalur lebarnya pada harga RM83 juta.

Kumpulan media dan hiburan bersepadu itu berkata, penjualan berkenaan dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berikutan kepentingan pengarah yang berkepentingan, pemegang saham utama serta pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka.

Sementara itu, Astro Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2027, tanpa mengambil kira keadaan luar jangka.

Katanya, cadangan penjualan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk merealisasikan nilai aset berkenaan, di samping mengurangkan pendedahan kepada risiko operasi dan komersial yang berkaitan dengan pengendalian perniagaan jalur lebar runcit.