BERMULA dengan kemahiran membuat kek dan roti dari rumah, seorang wanita di Kampung Air Hitam, Batu 18½, Muar kini mampu menjana jualan lebih RM10,000 sebulan selepas lebih sedekad membina perniagaan secara berperingkat.

Nor Hamizah Misdan, 36, tidak pernah menyangka minat yang bermula sejak zaman persekolahan itu akhirnya menjadi sumber pendapatan utama dan membolehkannya membina premis perniagaan sendiri di kampung halaman.

Lebih menarik, perniagaan yang dimulakan ketika berusia 24 tahun itu bermula secara sederhana selepas dia menamatkan pengajian dalam bidang bakeri di Kolej Komuniti Ledang.

Selepas tamat pengajian, dia memilih untuk memulakan perniagaan dari rumah pada 2014.