SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan pentadbiran sebaliknya, meskipun berdepan dua pertuduhan di mahkamah, hari ini.
Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad, berkata setakat ini tiada arahan diterima yang menghalang anak guamnya daripada meneruskan tugas sebagai penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang keputusan mengenai kedudukan Mohd Shuhaily dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada pihak berkuasa pentadbiran berkaitan.
"Setakat ini, tanpa sebarang arahan, beliau tetap akan bertugas seperti biasa," katanya pada sidang media selepas prosiding pertuduhan terhadap Mohd Shuhaily di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, hari ini.









