SEPANG: Dua anggota polis yang didakwa dikasari Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan memfailkan saman sivil dalam tempoh tujuh hari bagi menuntut pampasan atas kecederaan fizikal dan kesan trauma yang dialami.
Peguam mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaffar, berkata tindakan sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu akan difailkan selepas pihaknya mendapatkan laporan perubatan daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.
Jumlah pampasan yang akan dituntut belum ditentukan kerana masih menunggu laporan perubatan berkenaan sebelum membuat penilaian serta meneliti peruntukan undang-undang berkaitan.
"Dalam tempoh tujuh hari ini kami akan failkan tindakan terbabit di mahkamah. Tuntutan itu berkaitan kecederaan dialami, termasuk kesan fizikal dan mental serta perkara lain yang berlaku susulan kejadian berkenaan.








