Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan anak syarikatnya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk, dan merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia berhubung langkah itu, menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB).
Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB IB berkata langkah itu didorong pandangan CIMB bahawa CIMB Niaga masih dinilai rendah, selain prospek jangka panjang Indonesia yang positif, khususnya berdasarkan kekuatan Niaga dalam pengurusan kekayaan, perbankan korporat, hubungan serantau ASEAN, perbankan bagi segmen berpendapatan sederhana tinggi serta perbankan Syariah.
Menurut CIMB IB, tiga pilihan masih dipertimbangkan bagi menangani keperluan minimum pegangan awam CIMB Niaga, iaitu penempatan saham kepada pelabur strategik pada penilaian yang boleh diterima, tawaran awam permulaan (IPO) semula yang dilihat kurang berkemungkinan dalam keadaan pasaran Indonesia ketika ini, serta penswastaan yang dianggap pilihan lebih strategik dan berdaya maju.









