PETALING JAYA: Sebanyak 167,601 kes dengan 186,257 tangkapan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh sama, nilai rampasan dadah dan racun direkodkan sebanyak RM2.85 bilion berbanding RM1.98 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan sebanyak RM865.45 juta atau 43.63 peratus itu membuktikan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pengedaran dadah dan bahan terkawal.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh terbabit, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 23,195 kes dengan 26,368 tangkapan, diikuti Kedah sebanyak 18,843 kes dengan 19,601 tangkapan dan Kelantan sebanyak 18,008 kes dengan 19,712 tangkapan.