KUALA LUMPUR: Firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat (AS), KKR merancang untuk melabur kira-kira RM2.6 bilion dalam anak syarikat tenaga baharu PETRONAS di India, Gentari Renewable India Pte Ltd, demikian menurut laporan akhbar perniagaan India, The Economic Times.

Gentari Renewable India sedang meneroka modal pertumbuhan bagi menyokong pengembangan projek tenaga boleh baharu dan hidrogen hijau, selain mengurangkan hutangnya.

The Economic Times, memetik sumber tidak dinamakan yang mengetahui perkara itu berkata, suntikan modal oleh KKR tidak akan disalurkan melalui pegangan ekuiti serta-merta dalam Gentari Renewable India.

Sebaliknya, KKR akan mempunyai pilihan untuk memperoleh kepentingan ekuiti dalam syarikat berkenaan pada masa akan datang, menurut laporan itu.