PUTRAJAYA: Usaha reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sejak empat tahun lalu membantu melonjakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia berpotensi mencapai kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang sekiranya seluruh jentera kerajaan terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan dasar secara berkesan.

"Saya yakin bagi kita dua hingga tiga tahun ini, kita boleh melonjakkan kekuatan ekonomi, keselesaan rakyat jauh lebih baik daripada yang kita unjurkan," kata beliau pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata, usaha reformasi itu merangkumi pengukuhan pengurusan fiskal, penyasaran subsidi dan penambahbaikan tata kelola kerajaan, membolehkan negara terus mencatat perkembangan positif meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.